BEKALAN air bagi 397 kawasan kawasan di tiga wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat yang terjejas sejak semalam akibat pencemaran minyak di Sungai Semantan, Karak, Pahang sudah pulih sebanyak 84 peratus setakat jam 6 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, memaklumkan bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas itu dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 8 malam ini.
“Air Selangor ingin memaklumkan status terkini pemulihan bekalan air bagi 397 kawasan di tiga wilayah Air Selangor iaitu Petaling (tiga kawasan), Kuala Lumpur (172 kawasan) dan Hulu Langat (222 kawasan) yang terjejas berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 disebabkan insiden pencemaran minyak di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur kelmarin.
“Sehingga jam 6 pagi, pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 84 peratus,” menurut kenyataan itu.
Air Selangor memaklumkan, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna. – Malaysiapost

