Ekonomi Malaysia catat pertumbuhan lebih tinggi pada suku kedua 2022

0
1
tugu negara bendera Malaysia

PERKEMBANGAN ekonomi dan kewangan di Malaysia pada suku kedua tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh dengan ekonomi negara tumbuh sebanyak 8.9 peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan, memaklumkan walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebahagiannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada Jun 2021, pertumbuhan pada April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh.

“Permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan.

“Pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

“Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk eksport elektrik dan elektronik (E&E). Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Bagi kadar pertukaran mata wang pula, BNM memaklumkan Ringgit menyusut nilai sebanyak 4.6 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku kedua tahun 2022.

“Secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau.

“Walaubagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu,” katanya.

Keadaan pembiayaan bersih kepada sektor swasta juga meningkat sebanyak 4.9 peratus dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi, kata BNM.

“Pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana, manakala pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 5.5 peratus, berikutan pengembangan yang kukuh bagi pengeluaran pinjaman untuk modal kerja dan pelaburan.

“Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus meningkat iaitu sebanyak 5.7 peratus berbanding suku pertama 4.8 peratus, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan pinjaman.

“Secara keseluruhan, bayaran balik pinjaman bagi segmen perniagaan dan segmen isi rumah adalah menggalakkan apabila berakhirnya program bantuan bayaran balik pinjaman dan pembukaan semula ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here