Permohonan Najib dapatkan maklumat perbankan keluarga Zeti ditangguh

0
1

PERMOHONAN Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan akses terhadap sejumlah dokumen berkaitan 1MDB, termasuk maklumat perbankan keluarga bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Seri Zeti Akhtar Aziz di mahkamah hari ini ditangguhkan.

Ini selepas peguam kepada bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Shafee Abdullah mengambil cuti sakit.

Di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Ravinthran N Paramaguru, peguam bersama perayu Effa Azuin Aidrul Hisham berkata Shafee dijangkiti demam.

“Saya dimaklumkan oleh peguam kanan (Shafee) bahawa dia syak dijangkiti demam daripada kakitangan di firma guamannya,” kata Effa kepada panel hakim, yang turut dianggotai hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hahsim Hamzah.

Apabila Ravinthran bertanya kepada pihak pendakwaan, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib menyatakan mereka tidak ada bantahan untuk menangguhkan perbicaraanhari ini.

Mahkamah Rayuan kemudian menangguhkan perbicaraan dan menetapkan pengurusan kes esok bagi menetapkan tarikh lain untuk mendengar rayuan.

Peguam Sofea Shereen Salim merupakan peguam pemerhati bagi Zeti dan suaminya, Tawfiq Ayman.

Sebelum ini, Najib memohon dokumen untuk menguatkan pembelaannya terhadap perbicaraan yang sedang dijalankan bagi kes rasuah melibatkan dana RM2.28 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara dokumen tersebut adalah yang didakwa menunjukkan keluarga Zeti menerima wang daripada Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kini masih dalam buruan.

Najib juga memohon akses dokumen mahkamah Amerika Syarikat berhubung laporan forensik telefon bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner.

Pada 12 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen berkaitan 1MDB.

Hakim yang menolak permohonan itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah, turut mengendalikan perbicaraan kes rasuah Najib ini.

Sebelum ini suami Zeti, Datuk Dr Tawfiq Ayman menafikan pernah menerima rasuah.

Dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan, Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion milik 1MDB. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here