Fahmi persoal kewajaran guna RM400 juta dana projek LCS bayar hutang lapuk

0
1

KETUA Penerangan PKR, Fahmi Fadzil mempersoalkan kewajaran menggunakan dana pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk tujuan lain yang tidak berkaitan dengan projek berkenaan.

Fahmi berkata, ia susulan pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ketua Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS)Kapten (B) Ir Azhar Jumaat yang menyatakan RM400 juta dana LCS tidak digunakan untuk projek itu tetapi membayar hutang lapuk syarikat.

“CEO BNS, Ir Azhar Jumaat mengaku RM400 juta dana LCS tak diguna untuk bina kapal LCS, tapi untuk bayar hutang lapuk BNS bagi projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) pada 2014 dan 2015.

“Akibatnya kecairan kewangan BNS terkesan, ada pengilang peralatan asal (OEM) yang tak terima bayaran, akhirnya LCS lewat,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Fahmi berkata, siapa yang harus bertanggungjawab mengenai perkara itu serta mempersoalkan adakah tindakan berkenaan satu kesalahan atau sebaliknya.

“Siapa bertanggungjawab? Boleh ke diguna dana satu projek khusus untuk tujuan selain projek itu? Betul ke salah?

“Tahun 2014 dan 2015 itu zaman (Datuk Seri) Najib (Razak) PM, (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein Menteri Pertahanan dan BN Kerajaan,” katanya.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong mendakwa kenyataan CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berhubung pengurusan dana BNS dalam projek LCS adalah mengejutkan.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, BNS adalah kontraktor utama dalam projek pembinaan LCS yang terpaksa mengambil alih dan menanggung hutang bank syarikat PSC, selepas entiti itu gagal dalam penswastaan projek pembinaan kapal tentera laut.

“Macam mana beliau boleh setuju bahawa penggunaan dana LCS yang disonglap untuk ‘bailout’ projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) adalah sesuatu yang wajar dan boleh diterima.

“Satu hari nanti, takkan dana LTAT juga boleh disonglap untuk ‘bailout’ projek yang lain. Salah guna dana adalah jenayah dan tidak boleh diketepikan,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here