PEMUDA Umno akan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini, bagi membawa suara hati dan keluhan penunggang perkhidmatan p-hailing mengenai isu Lesen Memandu Vokasional (GDL).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau juga menolak tuduhan bahawa Pemuda Umno sengaja memainkan isu kumpulan ‘riders’ itu berhubung GDL demi mendapat kredit politik.
Sebaliknya, beliau berkata, Pemuda Umno sudah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan wakil penunggang p-hailing iaitu badan bukan kerajaan (NGO) PENGHANTAR.
“Berasaskan pertemuan-pertemuan dan mendengar sendiri isu riders ini, Pemuda Umno berpendirian polisi mengenakan GDL ini bakal membebankan riders dan penunggang p-hailing,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, dengan keputusan itu, kenderaan motosikal rakan-rakan penghantar p-hailing akan dikategorikan sebagai Kenderaan Perdagangan dan akan menyebabkan kos ditanggung mereka menjadi lebih tinggi kerana melibatkan juga polisi insurans berbeza.
“Kenderaan motosikal rakan-rakan penghantar p-hailing akan mengalami susut nilai apabila hendak dijual semula.
“Proses untuk menukar semula Status Kenderaan Perdagangan ke Status Kenderaan Peribadi adalah rumit.
“Malah, mereka akan melalui karenah birokrasi dalam proses mendapatkan Lesen GDL dan pemeriksaan PUSPAKOM,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, industri sektor ekonomi Gig p-hailing adalah sebuah industri pekerjaan bebas dan fleksibel, serta tidak menganggu industri sektor lain.
Katanya, ia berbeza seperti sektor ekonomi Gig e-hailing yang mengganggu Eko-Sistem Industri Teksi dan Kereta Sewa.
“(Selain itu), pelaksanaan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang diwajibkan kepada rakan-rakan pemandu e-hailing sehingga kini masih dalam keadaan yang bermasalah,” katanya.
Justeru, beliau berkata, Pemuda Umno berpendirian bahawa kerajaan seharusnya memandang isu-isu yang lebih besar dalam sektor itu berbanding pelaksanaan GDL berkenaan.
“(Ia termasuk) isu ketidakstabilan Kadar Upah Pembayaran Perkhidmatan Pengambilan dan Penghantaran Pesanan dan isu-isu diskriminasi yang dilakukan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan terhadap rakan-rakan penghantar p-hailing,” katanya. – Malaysiapost

