Uncle Kentang jelaskan kemana dana awam diagihkan

0
1

AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bertekad untuk terus memberi bantuan dan meneruskan segala inisiatif yang diusahakannya dalam membantu golongan yang memerlukan.

Berdepan dengan tomahan menyeleweng dana awam yang dikumpulkan terutama membabitkan perkhidmatan ambulans dan van jenazah yang disediakan, beliau menjelaskan ke mana wang berkenaan sebenarnya digunakan.

Menurutnya, dana awam itu digunakan untuk pelbagai inisiatif membantu mereka yang memerlukan, selain kos penyelenggaraan, bahan api dan juga gaji serta insurans pekerjanya.

“Kita berikan kupon makanan percuma di Institut Kanser Negara (IKN) untuk pesakit pesakit atau waris yang datang dan tak mampu makan. Setiap bulan anggaran antara RM3,000 ke RM4,000 untuk kupon makanan.

“Perkhidmatan ambulans percuma, RM1 kepada pesakit terlantar telah diberikan selama enam tahun. Dua tahun percuma kita dapat bantuan dari syarikat minyak untuk bahan api. Subsidi bukan sepenuhnya. Kini sudah empat tahun minyak diisi guna sumbangan dari orang ramai.

“Isian minyak dilakukan setiap bulan untuk ambulans tidak kurang RM20,000 ke RM30,000 sebulan, manakala kos penyelenggaraan ambulans setiap bulan tidak kurang dari RM5,000,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, selain itu pihaknya juga membantu dari segi tanggungan individu, keluarga, golongan tua dan banyak lagi bukan setakat bulanan tetapi ada juga yang ditanggung seumur hidup.

“Tahukah berapa orang terlantar yang ada dalam bayaran kami untuk penjagaan swasta menjaga mereka kerana tiada waris? (Enam orang x RM1,200) sebulan untuk tempoh dua tahun yang lalu dan masih sedang dijalankan usaha ini.

“Tahukah kita sedang tanggung berapa pesakit mental yang perlu dirawat dan tiada punca pendapatan. Sewa dan makanan diberikan setiap bulan oleh kita.

“Tahukah berapa orang tua berada di Pusat Jagaan Lenggeng kami sehingga akhir hayat dan kos untuk 12 orang, dua dah meninggal?. Kita akan jaga sehingga akhir hayat mereka dan kos mengajikan pekerja untuk jaga mereka,” katanya.

Chee Heng berkata, pihaknya melakukan bukan hanya satu inisiatif sahaja tetapi pendekatan secara holistik.

“Bagaimana kita bertahan untuk enam tahun? Untuk yang mampu bayar… bayar…Untuk yang tak mampu bayar…RM1…Untuk minyak, penyelenggaraan kita bayar sendiri. Hanya minyak hitam dan tayar kami mohon pada syarikat. Untuk kes dan untuk mengekalkan (perkhidmatan)..kami buka dana untuk orang ramai bantu.

“Adakah kita akan teruskan beri bantuan atau tutup segala inisiatif ini..terpulang pada anda semua. Pekerja kami semua perlu diberi gaji, EPF, insurans. Dia bukan sukarela,” jelasnya.

Beliau menegaskan tidak akan berhenti selagi mampu, namun akan tetap bersara daripada menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan.

“Saya akan melancarkan aplikasi yang lebih telus bagi memudahkan setiap penderma mengetahui ke mana sumbangan mereka diagihkan.

“Itu (aplikasi) akan menjadi hadiah terakhir saya kepada Malaysia sebelum bersara dan kita berdoa segalanya berjalan lancar selepas saya tiada nanti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here