PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengarahkan 25 bahagian parti itu di negeri berkenaan mengemukakan lima calon yang berpotensi untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata senarai nama itu perlu dikemukakan segera dan individu yang dicadangkan perlu berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima rakyat.
Menurutnya, senarai berkenaan perlu dihantar segera kepada badan perhubungan Umno negeri bagi membolehkan penilaian awal dibuat olah satu jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan.
“Senarai berkenaan perlu dikemukakan segera, sama ada individu yang dicadangkan mempunyai kedudukan dalam bahagian atau sebaliknya yang penting ianya berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima oleh rakyat.
”Matlamat kita pada PRU-15 ini adalah memenangi setiap kerusi yang ditandingi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Umno Sabah di Kota Kinabalu, malam tadi
Beliau berkata, selain penilaian jawatankuasa khas setiap nama yang dikemukakan akan turut dinilai berdasarkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, parti itu akan menggunakan konsep WALI (winnable, acceptable, likeable) dalam menentukan siapa yang menjadi layak calon bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.
”Personaliti calon merupakan elemen utama yang dilihat oleh rakyat dan ianya harus menjadi kriteria utama untuk Umno dan BN.
“Kebolehan untuk menang juga harus menjadi keutamaan walaupun yang dicalonkan bukan penjawat utama di peringkat bahagian, seseorang calon itu mungkin boleh diterima oleh rakyat tetapi belum tentu dia disukai, jadi tiga elemen WALI ini penting dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menjadi calon,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyeru semua bahagian dan cawangan Umno di Sabah supaya mengemaskini daftar pemilih termasuk mengenal pasti pengundi baharu khususnya pengundi muda. – Malaysiapost

