MESYUARAT Jawatankuasa Pemuda Umno hari ini sebulat suara menggesa dan mendesak kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat secara bebas dan menyeluruh mengenai isu Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keanggotaan RCI yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong kelak mestilah bebas daripada mana-mana kalangan ahli parti politik berkepentingan.
Selain itu katanya, ia mesti dianggotai pakar dalam aspek kejuruteraan pembinaan kapal perang dan mereka yang dihormati.
“Ini penting bagi memastikan segala dapatan dan hasil siasatan nanti tidak bias dan dilihat berkecenderungan kepada mana-mana pihak.
“Pada masa sama, Pemuda Umno menggesa SPRM segera bertindak dan melapor hasil siasatan yang sudah dijalankan bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah, pecah amanah mahupun sebarang bentuk penyelewengan dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost

