LCS: Kerajaan gesa SPRM siasat segera, heret petualang ke muka pengadilan 

0
1

KERAJAAN menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyegerakan siasatan berkenaan isu projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (LCS).  

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan. 

“Kerajaan memandang serius isu LCS yang sedang dalam siasatan SPRM. Perkara ini dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. 

“Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki untuk segera bertindak selaras keputusan mesyuarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Dalam masa sama, Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat Jemaah Menteri membuat keputusan agar laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum. 

“Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan (declassify). Namun, proses ini perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu. 

“Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022,” katanya.  

Ismail Sabri juga menegaskan, kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

“Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat,” katanya.  

Minggu lalu, laporan Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan wujud kontroversi dalam projek pembinaan enam kapal LCS yang mengakibatkan tiada satu pun kapal tersebut berjaya disiapkan setakat ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here