TIMBALAN Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dilantik menjadi Ketua Polis Perak yang baharu bagi menggantikan penyandangnya Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang bersara wajib pada 5 Ogos lalu.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pertukaran dan kenaikan pangkat itu akan berkuatkuasa 12 September ini.
Turut diumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 19 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lain yang berkuatkuasa pada tarikh sama.
Antara pegawai kanan lain yang diumumkan bertukar jawatan adalah Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman yang akan menjawat jawatan Timbalan Pengarah I, Bukit Aman.
Komander 69 Komando Pasukan Gerakan Khas Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Abdul Razak Mohd Yusoff pula dilantik menjadi Timbalan Ketua Polis Pahang dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar pula dilantik menjawat jawatan Ketua Pengurusan Kuala Lumpur dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner. – Malaysiapost

