PARTI Bangsa Malaysia (PBM) meletakkan hala tuju parti itu kepada takdir Tuhan sama ada menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad atau sebaliknya.
Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, parti itu belum membuat sebarang keputusan berkenaan perkara itu namun tidak menafikan hanya berserah kepada takdir kepada Allah.
“Ini kita belum lagi…kita bukan tunggu, kita tunggu ketentuan takdir Allah Taala,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Panduan Praktikal Buruh Paksa Industri Getah Malaysia di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, hari ini.
Jumaat lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang mengumumkan penubuha GTA bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.
Sementara itu, Zuraida mengesahkan PBM masih belum menerima sebarang jawapan berhubung permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
“Seperti yang saya sebut hari itu, kita belum dapat jawapan lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu mengesahkan PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) sejak tiga minggu lalu.
Mengenai banyak bantahan terutama dalam kalangan pemimpin Umno yang menolak PBM menyertai BN, Zuraida berkata pihaknya tidak tahu menahu berkenaan perkara itu
“Itu tiada dalan rekod saya… not in my record,” katanya. – Malaysiapost

