MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa isu-isu dalam saman fitnah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lebih baik ditangani semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu.
Hakim Datuk Rohana Ali Yusoff, berkata demikian ketika menolak permohonan injunksi interim bekas Timbalan Perdana Menteri terhadap bekas Perdana Menteri itu hari ini, lapor MalaysiaKini.
Sebelum ini, mahkamah dilaporkan menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan injunksi Ahmad Zahid bagi menghalang Muhyiddin daripada terus mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya.
Ketika dihubungi, peguam Ahmad Zahid, Shahrul Fazli Kamarulzaman mengesahkan keputusan prosiding.
“Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua peguam bela, mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan isu yang dibangkitkan adalah lebih baik diselesaikan dan diputuskan semasa perbicaraan.
“Isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak bertelagah adalah seperti berikut, sama ada kenyataan defendan berunsur fitnah atau tidak; sama ada terdapat kebenaran dalam pembelaan defendan tentang justifikasi dalam menyokong kenyataan fitnah; sama ada kenyataan defendan adalah komen yang adil; dan sama ada defendan boleh bergantung pada pembelaan keistimewaan yang layak.
“Mahkamah menganugerahkan kos RM5,000 untuk permohonan itu. Kes itu kini akan dibicarakan,” katanya.
Shahrul menambah, mahkamah menetapkan pengurusan kes lanjut melalui dalam talian pada 3 Okt untuk kedua-dua pihak membuat persediaan untuk perbicaraan.
Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.
Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut diminta adalah perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil Perikatan Nasional, YouTube Astro Awani dan KiniTV.
Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam;dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.
Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.
Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya. – Malaysiapost

