KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengarahkan pengurusan MAHA 2022 menghentikan semua operasi tunda kereta di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) sepanjang penganjuran acara itu berkuat kuasa serta-merta.
MAFI dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu dibuat susulan laporan media berkenaan kereta pengunjung ditunda dan disaman RM100 tanpa notis di Maeps, semalam.
Jelasnya, operasi tunda kereta dibuat bagi memastikan aliran trafik dan lalu lintas berjalan dengan lancar dan efisien.
“Selain membantu kelancaran sistem parkir di setiap kawasan parkir dalam Maeps bagi mengelakkan aliran trafik menjadi sesak bilamana terdapat kenderaan yang menghalang kenderaan lain.
“Bagaimanapun, MAFI telah mengarahkan pihak pengurusan acara MAHA 2022 untuk menghentikan semua operasi tunda kereta di MAEPS, Serdang sepanjang penganjuran MAHA 2022 berkuat kuasa serta-merta,” kata kenyataan itu.
MAFI turut memaklumkan bermula hari ini, petugas media hanya perlu menunjukkan pas media kepada petugas atau pengawal pintu masuk Maeps untuk ke parkir yang dikhaskan di belakang Dewan A, Maeps.
“Manakala, bagi kenderaan awam perlu diletakkan di tempat yang disediakan,” katanya.
Menurut MAFI, sebanyak 5,000 lot parkir kereta disediakan di Laman Tiba 1 termasuk 3,500 lot parkir di Laman Tiba 2 bagi kemudahan pengunjung.
“Pengunjung turut dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada pengguna jalan raya dan menyebabkan kesesakan.
“Pihak MAFI akan sentiasa memastikan kemudahan, keselesaan dan keselamatan para pengunjung dan petugas media diberi perhatian sepanjang penganjuran MAHA 2022,” katanya.
Sehingga semalam, jumlah pengunjung MAHA 2022 yang direkodkan adalah seramai 404,000 orang pengunjung. – Malaysiapost

