Lelaki letak vape pada mulut bayi ditahan

0
2

SEORANG lelaki yang tular videonya meletakkan vape ke mulut seorang bayi perempuan berusia 7 bulan di kedai makan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 2.56 petang kelmarin, dibuat oleh ibu kepada bayi terbabit.

Susulan itu, katanya, lelaki yang juga merupakan peniaga yang berusia 23 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini pada jam 12.45 tengah hari tadi.

“Suspek yang juga kenalan adik perempuan kepada pengadu itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Utara (JBU). Polis akan memohon reman di mahkamah, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rupiah berkata, ibu bayi berkenaan memaklumkan pada hari kejadian dia sedang makan di sebuah restoran di Bandar Baru Uda bersama anaknya, adik perempuan dan rakan lelaki adik perempuannya yang merupakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Secara tiba-tiba, suspek yang sedang memangku bayi berkenaan dengan niat bergurau meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut bayi itu manakala kejadian dirakam adik perempuan pengadu,” katanya.

“Kejadian itu dirakam adik perempuan pengadu sebelum rakaman itu dimuat naik oleh adiknya di laman media sosial, sekali gus menjadi tular. Video itu kemudian mendapat kecaman masyarakat di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Dalam masa sama, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak benar serta tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana perkara yang tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here