LCS: Zahid menteri pertahanan hingga 2013, tak perlu nak nafi – Fahmi

0
1

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil hairan apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih menafikan beliau terlibat dalam isu kegagalan perolehan kapal tempur persisir (LCS).

Ketua Penerangan PKR itu berkata, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jelas menunjukkan Ahmad Zahid yang ketika itu sebagai Menteri Pertahanan terlibat dalam isu berkenaan.

“Kenapa Ahmad Zahid masih tak nak dikaitkan dengan skandal LCS ini? Tapi laporan, Letter of Intent (LOI) projek LCS diberi pada 15 Oktober 2010; dan Letter of Award (LOA) diberi pada 16 Disember 2011.

“Zahid Menteri Pertahanan dari 10 April 2009 hingga 15 Mei 2013. Bermaksud, waktu LOI dan LOA bagi LCS ini dikeluarkan, Zahid adalah Menteri Pertahanan dan seharusnya perkara ini di dalam pengetahuannya,” katanya di Facebook, hari ini.

Fahmi menambah, laporan PAC juga menunjukkan terdapat kepincangan dalam proses perolehan itu sekali gus menyebabkan kelewatan menghasilkan kapal tempur baharu.

“Masalah kelewatan ada kaitan dengan keseluruhan proses perolehan. Bekas Panglima Tentera Laut hantar 10 surat teguran, tapi SEMUA pimpinan utama termasuk Najib, Zahid, Hisham, tak endah teguran.

“RM6 bilion hangus, satu kapal tak sampai. Hebat BN,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa tidak wajar beliau dikaitkan dalam isu perolehan LCS itu.

Kata Presiden Umno itu, beliau bukan menteri pertahanan ketika projek itu diberikan, sebaliknya memegang portfolio berkenaan dalam tempoh April 2009 hingga Mei 2013.

Ahmad Zahid menegaskan, mereka yang terbabit dalam kegagalan perolehan LCS perlu menjelaskan kepada PAC.

Khamis lalu, PAC mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur pesisir (Littoral Combatant Ship – LCS) bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

BNS adalah anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here