DAP dakwa PM tidak ambil tindakan tegas isu projek LCS

0
1

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng membidas tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa tidak bertanggungjawab kerana tidak mengambil tindakan segera dan tegas berhubung skandal projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bernilai RM9 bilion.

Guan Eng berkata, Perdana Menteri dilihat lebih mengutamakan insiden penderaan lisan oleh pegawai kanan kerajaan yang didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berbanding isu besar berkenaan.

“Kerajaan telah bertindak pantas dengan membentuk jawatankuasa empat anggota peringkat tinggi diketuai Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk menyiasat dakwaan penderaan lisan itu.

“Sebaliknya, Ismail Sabri setakat ini gagal membuat sebarang komen atau mengambil sebarang tindakan untuk menuntut hukuman terhadap mereka yang bertanggungjawab meluluskan RM9 bilion untuk membeli 6 LCS yang dibina oleh Boustead Naval Shipyard,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, DAP tidak membantah usaha kerajaan menyiasat dakwaan insiden penderaan lisan tersebut, tetapi kepentingan yang sama harus diberikan kepada skandal LCS.

“Sebanyak RM6 bilion telah dibayar tanpa mendapat satu kapal pun. Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh Ismail Sabri terhadap skandal RM9 bilion LCS adalah gambaran yang menyedihkan.

“(Sekali gus mempamerkan) tentang kekurangan pertimbangan yang bijaksana untuk membezakan antara apa yang betul dan salah serta perkara yang perlu diutamakan untuk mentadbir negara dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

PAC memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here