Projek LCS wajar diteruskan – Zambry

0
2

KEPUTUSAN dibuat kerajaan untuk meneruskan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) dengan menetapkan proses mobilisasi selama enam bulan bermula April lalu, adalah wajar.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata terdapat beberapa justifikasi yang mewajarkan ketetapan dan keseriusan kerajaan untuk meneruskan serta memastikan projek tersebut disempurnakan.

“Pertama, LCS adalah kapal yang diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Maka, kita tidak sewajarnya mengetepikan keperluan mereka. Keperluan TLDM mesti diberikan keutamaan kerana ini bukanlah satu perkara yang remeh.

“Kedua, terdapat kira-kira 400 vendor yang sebenarnya terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.

“Ketiga, meneruskan projek berkenaan sama sekali tidak bermaksud kerajaan berkompromi dengan segala isu dan kegagalan yang dikemukakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, menyokong pendirian tegas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan keutamaan dan mempercepatkan pendakwaan ke atas mereka yang terlibat dalam kes berkenaan selari dengan syor PAC.

“Mereka yang terlibat dan cuai tidak boleh dibiarkan terlepas sama sekali dan mesti dipertanggungjawabkan dengan tegas dan adil. Isu ini bukan sahaja melibatkan kecuaian dalam perbelanjaan wang awam dalam Kerajaan, malah merupakan isu yang melibatkan kepentingan keselamatan negara.

“Saya sangat berharap kesudahan yang adil dapat dicapai. Kepentingan TLDM, para vendor yang tidak bersalah khususnya dari kelompok veteran dan kemaslahatan negara mesti dijadikan aspek terpenting yang memimpin segenap keputusan dan tindakan kita selepas ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here