DATUK Seri Najib Razak mendakwa pendakwaan terpilih yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berpunca daripada tindakan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.
Bekas Perdana Menteri itu membidas kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mempersoalkan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan ‘double standard’ dalam mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terlibat dalam aktiviti rasuah manakala tidak bertindak terhadap bekas rakan partinya yang berpaling tadah kepada Bersatu seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
“Kerana pada masa itu, Peguam Negara yang dilantik adalah yang dijanji oleh bapa kamu jika PH menang PRU14.
“Kerana pada masa itu, tiga orang itu telah melompat parti untuk sertai PH, gabungan kamu,” katanya di Facebook, hari ini.
Najib juga turut menyindir Guan Eng yang seolah-olah lupa mengenai kes pendakwaan mahkamah yang dihadapinya telah dibatalkan oleh Tommy meskipun ketika itu 30 saksi telah dipanggil dalam prosiding kes berkenaan.
“Kamu patut ingat orang yang sama menjadi Peguam Negara telah menggugurkan kes pendakwaan rasuah kamu walaupun 30 orang saksi telah memberi kenyataan di mahkamah ketika itu.
“Kerana pada masa itu, ahli politik daripada PH telah dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.
Najib juga menyindir Guan Eng yang buat-buat lupa tentang dirinya yang terpalit kes mahkamah tetapi masih dilantik PH menjadi Menteri Kewangan.
“Ia adalah masa PH kamu mencipta sejarah dunia apabila mereka melantik seseorang yang masih menjalani perbicaraan kerana salah guna kuasa dan rasuah sebagai Menteri Kewangan untuk menguruskan wang negara kita.
“Kamu lupa?” soalnya. -Malaysiapost

