NEGARA bakal berdepan dengan isu kekurangan tenaga mahir jika generasi muda tidak lagi mahu menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dengan hanya berpuas hati memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan itu berdasarkan kaji selidik yang mendapati 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran.
Menurutnya, isu berkenaan juga akan menyebabkan produktiviti, inovasi dan daya saing buruh negara terus merundum, selain bakal meningkatkan kebergantungan Malaysia kepada tenaga asing dalam bidang tertentu.
“Situasi itu barangkali disebabkan wujud persepsi ‘belajar tinggi, tetapi sukar dapat pekerjaan’ ketika ini. Atau jika dapat pekerjaan gaji diperoleh tidak setimpal dengan kelayakan dan masa dihabiskan untuk belajar.
“Mungkin juga disebabkan oleh kekangan kewangan dihadapi keluarga untuk anak menyambung pengajian. Seperti yang semua ketahui ekonomi negara pada tahun 2019 berkembang pada kadar yang perlahan,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, ekonomi Malaysia pada 2020 juga dilaporkan menguncup berbanding pertumbuhan yang dicatatkan tahun sebelumnya.
“Apabila pertumbuhan ekonomi menurun, ini bermakna pendapatan rakyat juga turut menurun. Industri turut berdepan tekanan kewangan sekali gus memberi kesan kepada sektor pekerjaan.
“Permasalahan ini tidak boleh dipandang ringan meskipun terdapat pelbagai peluang dalam ekonomi gig. Faktor yang memberi implikasi minat golongan muda menyambung pelajaran perlu dikenal pasti secara realistik,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata negara tidak boleh alami isu kekurangan tenaga mahir dalam berdepan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Tegasnya, ia akan memberi kesan langsung terhadap hasrat negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi. – Malaysiapost

