‘Anda kebanggaan Keluarga Malaysia!’ – PM

0
2

KONTINJEN negara berjaya mencapai sasaran enam pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan dua daripada pingat berkenaan diraih oleh atlet gimrama negara, Ng Joe Ee.

Atlet berusia 17 tahun itu mencipta kejutan apabila meraih dua pingat emas dalam saingan disiplin bola dan riben di Arena Birmingham, malam tadi.

Joe Ee memperoleh pingat kejuaraan menerusi disiplin riben selepas mendapat 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran Suzanna Shahbazian dari Kanada yang memperoleh 29.050 mata bagi meraih perak.

Dalam disiplin bola pula atlet berkenaan berjaya mendapat 29.700 mata bagi mengenepikan cabaran tujuh pencabar lain.

Kejayaannya itu turut mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berbangga dengan pencapaian atlet muda berkenaan.

“Dua lagi pingat emas buat Malaysia. Tahniah atlet gimrama negara, Ng Joe Ee yang berjaya merangkul dua pingat emas dalam saingan disiplin bola dan riben di Sukan Komanwel Birmingham 2022!

“Anda kebanggaan Keluarga Malaysia!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Malaysia turut menambah satu pingat perak yang disumbangkan atlet terjun negara melalui gandingan Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee dalam acara tiga meter papan anjal seirama wanita.

Skuad gimrama juga berjaya menyumbang satu pingat gangsa baru buat negara melalui Izzah Amzan bagi disiplin belantan dalam saingan dengan mencatatkan 28.600 mata.

Kontinjen Malaysia kini mengumpul keseluruhan 15 pingat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 membabitkan enam emas, lima perak dan empat gangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here