PEMUDA Umno menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyelesaikan siasatan berhubung isu kepincangan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata laporan SPRM telah dibuat sejak tahun lalu, namun sehingga hari ini belum ada apa-apa maklumat mengenai hasil siasatan ataupun tindakan di peringkat Peguam Negara.
“SPRM perlu segera menyelesaikan siasatan bersandarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kepincangan projek pembinaan enam LCS TLDM yang dianugerahkan kepada Syarikat Milik Kerajaan (GLC) Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu Asyraf Wajdi berkata, sekiranya wujud sebarang salah laku, penyelewengan mahupun unsur rasuah, SPRM harus segera mengambil tindakan tegas dan pantas membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.
“Selagi tiada pendakwaan mahupun tindakan tegas undang-undang bagi sebarang bentuk salah laku, selagi itulah pelbagai polemik bakal timbul seolah-olah kepincangan didiamkan dan dibiarkan berlaku begitu sahaja,” katanya.
Semalam, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, kajian daya maju (due deligence) yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS mengenai pembinaan LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.
Beliau berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendahaam Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.
Perkara itu antara sembilan rumusan yang diperoleh PAC menerusi prosiding berkaitan isu LCS.
Malah, PAC mendedahkan LCS tercanggih pertama milik TLDM yang pernah dilancarkan pada 2017 sebenarnya dalam keadaan tidak siap.
Kah Woh berkata, berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus.
Justeru, beliau merumuskan bahawa upacara penamaan dan pelancaran LCS terbabit seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal berkenaan sudah siap. – Malaysiapost

