KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, digesa menjelaskan mengapa agensi itu tidak bertindak awal apabila laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM6 bilion bagi projek kapal tempur pesisir (LCS).
Veteren DAP, Lim Kit Siang berkata, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong pada 2020 telah menggesa kerajaan untuk menyiasat RM1 billion yang hilang berkaitan dengan projek tersebut.
“Namun, kita tidak melihat apa-apa penyiasatan diumumkan oleh kerajaan mahupun apa-apa tindakan yang diambil SPRM sejak dari gesaan ini.
“Laporan PAC ini mungkin telah memberikan sedikit petunjuk kepada SPRM sekiranya SPRM tidak tahu mengenai wang yang hilang ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kit Siang berkata, beliau juga terkejut apabila laporan PAC mendedahkan bukan hanya RM1 billion yang hilang, sebaliknya RM1.4 billion.
“Sejumlah RM400 juta telah digunakan oleh Kontraktor untuk membayar hutang lamanya, RM305 juta digunakan untuk membina sebuah pusat di Cyberjaya, yang agak tidak berkaitan dengan pembinaan kapal dan RM700 juta diklasifikasikan sebagai kos berlebihan oleh pihak Kontraktor.
“Jadi, kini tanggungjawabnya terletak kepada SPRM untuk menyiasat setiap aspek perbelanjaan dan memberitahu rakyat sama ada wang ini telah disedut keluar dan siapa yang telah menerima manfaat darinya.
“Bolehkah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memberitahu rakyat Malaysia, apa yang sedang dilakukan SPRM mengenai Laporan PAC ini dan juga menjelaskan mengapa badan tersebut tidak bertindak awal lagi?,” katanya.
Semalam, Pengerusi PAC Wong Kah Woh dilapor berkata, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara rundingan terus.
Katanya, kajian daya maju yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.
Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.
“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan. Menurut jadual asal, setakat Ogos 2022 sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan,” katanya.
PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar. – Malaysiapost

