3 maut nahas 3 kenderaan

0
1

Ben Ibrahim

TIGA lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, Rompin, malam tadi.

Nahas membabitkan sebuah treler dan dua kereta jenis Perodua Axia dan Proton Iswara itu berlaku berhampiran jambatan dekat simpang menghala ke Bahau, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata siasatan awal mendapati nahas dipercayai berpunca selepas Proton Iswara dari arah Segamat menghala ke Kuantan, gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.

“Akibat rempuhan itu, treler berkenaan hilang kawalan dan bertembung dengan Perodua Axia sebelum terbabas ke cerun di bahagian kanan jalan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, pagi tadi.

Azahari berkata, mangsa yang maut dalam adalah kelindan treler, Abdul Raziz Mohdal, 40, dari Segamat; pemandu dan penumpang Proton Iswara, Mohd Khairo Md Tahir, 36, dan Zairulzaimy Jambi, 18, kedua-duanya dari Pekan, dan bekerja sebagai penjaga kebun durian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria memaklumkan dua jentera bersama 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dan Chini terbabit dalam operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa kemalangan itu.

Katanya, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Muadzam Shah bagi tujuan bedah siasat dan rawatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here