MEMBESAR tanpa nikmat kasih sayang ibu bapa tidak pernah mematahkan semangat ahli perniagaan produk kecantikan jenama Beautyspells, Norsidayati Mustari dari Tawau, untuk terbang tinggi.
Wanita berusia 32 tahun yang lebih dikenali dengan panggilan Sis Bell, kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Sufiah Habib Zain yang bekerja sebagai penjual sayur sejak usianya lima tahun.
Bapanya, Allahyarham Mustari Subutanratu berasal dari Indonesia dan bekerja sebagai buruh kasar meninggal dunia ketika dia berumur 19 tahun.
Dalam tempoh tanpa ibu dan bapa, wanita dengan tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini dijaga oleh makcik dan neneknya.
Malah atas inspirasi kisah pilu hidupnya itu, Sis Bell menzahirkan inspirasi dan suka duka dilalui menerusi tiga video drama pendek berjudul Kerinduan Seorang Anak yang dipromosikan secara tiga bahagian di akaun Facebook rasminya, Bell Mustari.
Video itu didedikasikan khas buat arwah bapanya dan boleh ditonton di https://www.facebook.com/100008266215569/posts/3349161475369360/?d=n
“Saya tahu untuk berkongsi kejayaan dikecapi ini dengan ibu bapa tersayang sangat mustahil. Mereka lebih dulu pergi meninggalkan saya. Hanya rasa rindu yang mencengkam kala mengenangkan mereka.
“Saya hanya mampu sedekahkan Al Fatihah untuk kedua ibu bapa. Walaupun dibesarkan tanpa mereka, saya mahu mereka yang senasib terus kebalkan hati dan semangat.
“Begitu juga yang masih ada ibu bapa, hargai peluang dan cipta kenangan bersama. Kita tidak pernah tahu siapa dulu akan menyahut seruan Ilahi,” katanya.
Menurut Sis Bell, selepas kematian ibunya, arwah bapanya terpaksa pulang ke tanah asal di Indonesia.
“Dari usia lima hingga 19 tahun saya tak sempat bersua muka dengannya. Makcik yang menjaga saya dan dipanggil sebagai emak ada bersua dengan bapa.
“Saya hanya mendengar khabar dan keadaannya daripada orang yang menyampaikan. Saya dapat tahu kekangan kewangan dan masalah dokumen perjalanan membataskan kembaranya ke Malaysia.
“Dalam tempoh itu, saya hanya sempat berhubung dengannya menerusi telefon dua kali. Masih segar dalam ingatan saya pesanannya untuk menjadi anak berguna dan membanggakan orang tuanya,” katanya.
Sis Bell turut menyifatkan kejayaan membina empayar perniagaan berdaftar sejak 2014 di bawah syarikat Beautyspells Sdn Bhd berpangkalan di Sabah atas kekuatan diri sendiri.
“Orang selalu cakap nak berjaya kena ada sokongan keluarga, ibu bapa dan orang tersayang. Tapi dalam kes saya, ibu bapa sudah tiada untuk melihat kejayaan dikecapi.
“Saya hanya mampu berkongsi dan meminjam kasih sayang nenek dan makcik. Namun kekuatan sebenar yang saya belajar sedari dulu ialah diri sendiri yang menjadi penyokong terhebat.
“Walaupun belajar setakat SPM, saya tak pernah melihat itu sebagai halangan untuk menjadi insan berguna. Beautyspells menjadi bukti kepada susah payah dan pergelutan selama ini. Setiap yang terjadi ada hikmahnya untuk kita jadi lebih kuat,” katanya.
Sis Bell berharap video dihasilkan bukan saja untuk kenangan dirinya tetapi boleh menjadi renungan bersama buat semua. – Malaysiapost

