“SAYA mangsa penjajahan makanan di Malaysia”. Demikian Mat Salleh Cari Makan, Rhys William.
Vlogger makanan popular itu menepis dakwaan dia adalah pelakon watak Captain Syers dalam filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.
Dalam hantaran di Facebook, Rhys memberitahu sejak filem tersebut ‘pecah’ panggung, namanya disebut-sebut sebagai Captain Syers kerana kelihatan seiras dengan pelakon watak tersebut.
“Saya nak buat pengumuman… Disebabkan ramai sangat ingat saya yang jadi Captain Syers dalam Mat Kilau.. Jadi, hari ni saya nak bagitahu itu bukan saya tau.
“Saya belum pernah ditawarkan untuk berlakon filem besar macam ni. Saya banyak ditawarkan makan saja buat masa ni.
“Harap tak ada yang panggil saya penjajah lagi sebab sayalah sebenarnya mangsa penjajahan makanan di Malaysia,” katanya dalam hantaran itu.
Sekadar info, Rhys mula dikenali menerusi blog “Mat Salleh Cari Makan’ dan menjadi tular kerana kepetahannya bertutur dalam Bahasa Melayu.
Rhy atau nama sebenarnya Rhy William James berpindah dari United Kingdom dan memilih Malaysia sebagai ‘rumah’ kerana terpersona dengan keunikan negara ini. – Malaysiapost

