MARA taja 1,246 pelajar ke luar negara

0
1

SERAMAI 1,246 pelajar cemerlang dipilih menerima tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) melanjutkan pengajian ke luar negara mulai September ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 ke Amerika Syarikat (AS).

“MARA akan terus menyediakan peruntukan bagi menaja pengajian pelajar-pelajar cemerlang yang akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar setiap tahun di bawah skim pinjaman boleh ubah bagi pengajian di dalam dan luar negara.

“Antara program penajaan yang ditawarkan adalah Young Talent Development Programme (YTP), Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan MARA Education Sponsorship Hybrid (MESH),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di Kuala Lumpur hari ini .

Jelas Mahdzir, selain UK dan AS, MARA turut menghantar seramai 84 orang pelajar ke Rusia, Australia (66 orang), India (50 orang) dan Perancis (47 orang).

“Selain itu, Ireland (34 orang), Sepanyol (16 orang), New Zealand (15 orang), Belanda (tiga orang), Jordan (dua orang) dan Jerman, Sweden serta Korea Selatan masing-masing seorang pelajar.

“Kesemua pelajar terbabit kini sedang menjalani program persiapan diri dan akan berlepas ke negara tersebut secara berperingkat bermula September depan,” katanya.

Beliau berkata, Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke luar negara (Know Before You Go) antaranya adalah bagi memberi pendedahan dan penerangan berkenaan urusan konsular oleh Bahagian Konsular Wisma Putra.

“Selain taklimat ancaman keselamatan dan ekstremis oleh Polis Diraja Malaysia, taklimat urusan di lapangan terbang, urusan kewangan dan prosedur yang perlu dipatuhi semasa menjadi pelajar tajaan MARA di luar negara nanti.

“Kesemua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara adalah berdasarkan keputusan yang cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan seperti A-Level, International Baccalaureate, American Degree Transfer Program, Diploma, Foundation serta Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana,” katanya.

Tambahnya, pelajar terbabit sebelum ini juga telah menghadiri Program Pemantapan Karisma yang diadakan selama tiga hari.

“Mereka telah didedahkan berkaitan prinsip utama konsep kenegaraan bagi memahami kepentingan Kerajaan dalam pentadbiran Malaysia.

“Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

“Ia dirangka khusus untuk membina jati diri kebangsaan yang mantap dalam kalangan pelajar sebagai golongan yang beridealisme agar selari dengan matlamat utama MARA,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, program tersebut juga bertujuan memupuk aspek kepimpinan dalam diri setiap pelajar bagi menghasilkan generasi yang mempunyai potensi dan berkemahiran tinggi.

“MARA menyasarkan untuk menghantar pelajar tajaannya ke luar negara seramai 1,500 orang setiap tahun.

“MARA akan terus melahirkan golongan pelajar yang peka tentang konsep berkerajaan serta mengetahui dasar-dasar negara berpandukan perlembagaan persekutuan dan prinsip rukun negara,” katanya.

Untuk rekod, MARA kini mempunyai sejumlah 3,229 orang pelajar tajaannya di 19 negara.

Kesemua mereka melanjutkan pengajian di 50 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 20 terbaik mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here