HUBUNGAN dua hala Malaysia-Turkiye telah terjalin sejak 1957 dan ia dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya, jumlah dagangan dengan negara berkenaan juga telah meningkat sebanyak 74.2 peratus daripada RM9.74 bilion pada 2020 kepada RM16.97 bilion pada tahun 2021.
“Peningkatan hubungan ekonomi adalah hasil Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang dimeterai 1 Ogos 2015.
“Kedua-dua negara kini dalam peringkat akhir rundingan peluasan skop MTFTA merangkumi bidang lain seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang bagi meningkatkan potensi pengembangan ekonomi kedua-dua negara,” katanya yang menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Turkiye, Mevlüt Çavuşoğlu, hari ini
Beliau berkata, dalam pertemuan itu turut dibincangkan mengenai Keselamatan Makanan, dimana Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk bekerjasama secara aktif dalam bidang itu.
“Ia membolehkan kedua-dua negara membangunkan pelbagai sumber dan rantaian bekalan makanan yang mampan bagi manfaat bersama,” katanya.
Ismail Sabri berkata, Malaysia juga menghargai pendirian tegas dan pendekatan telus Turkiye berhubung krisis Rusia dan Ukraine bagi mencari penyelesaian pada kadar segera. – Malaysiapost

