Sabah, Sarawak tak mahu terima anggota polis bermasalah

0
1
pkp polis roadblock

TINDAKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan sembilan anggotanya yang dipercayai terbabit dengan kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak seperti dilaporkan media semalam mendapat bantahan di kedua-dua negeri berkenaan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan perkara itu perlu dibincangkan bersama kerajaan negeri terlebih dulu sebelum dilaksanakan.

“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai prosedur atau tindakan disiplin yang diambil jabatan terhadap anggota mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, berkata kerajaan negeri akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM mengenai perkara terbabit.

Sementara itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan sudah membuat semakan dengan Pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak dan diberitahu anggota yang berkenaan belum lagi melaporkan diri setakat ini.

“Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM untuk menambahkan bilangan anggota bagi memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

“Namun kita berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PDRM menyambut baik saranan kerajaan Sarawak dan memaklumkan bahawa keputusan pertukaran tersebut akan dikaji semula oleh pucuk pimpinan PDRM.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi dalam satu wawancara khas semalam, dilaporkan berkata, sembilan anggota yang dipercayai terbabit kes pemerasan ahli perniagaan telah ditempatkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak.

Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here