Ainul semakin baik, tidak lagi kritikal

0
1

KEADAAN Ainul Mardhiah, kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor kini tidak lagi kritikal, namun masih memerlukan sokongan ventilator.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, berkata doktor yang merawat anaknya memaklumkan keadaan Ainul semakin baik dan tidak lagi kritikal.

“Walaupun begitu, Ainul masih perlu dirawat di unit jagaan rapi, masih diberikan ubat “rehat” dan masih memerlukan sokongan ventilator.

“Keseluruhannya, Ainul lebih baik dari semalam. Dia masih kuat melawan. Terima kasih buat para Doktor yang merawat Ainul kerana berjaya selamatkan Ainul dari zon kritikal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang merawat anaknya termasuk jururawat yang menjaga Ainul dengan penuh kasih sayang serta rakyat Malaysia yang mengambil berat dan sentiasa mendoakan kesihatan Ainul.

“Tiada daya saya dan ahli keluarga untuk membalas jasa baik rakyat Malaysia yang berbuat baik kepada kami. Hanya mampu kami titipkan doa buat anda semua supaya Allah SWT berikan segala kebaikan yang ada di muka bumi ini kepada anda dan seluruh ahli keluarga.

“Saya juga doakan buat anak-anak lain yang sedang bertarung nyawa, yang sedang berjuang melawan penyakit diberikan kesembuhan secara menyeluruh, Doktor yang merawat diberikan jalan dan kefahaman, dan ibu bapa mereka diberikan ketabahan, kesabaran, ganjaran di dunia dan di akhirat. Semoga Allah swt cukupkan rezeki kita semua.

“Mohon doakan Ainul sembuh dari serangan kuman ini tanpa ada sebarang komplikasi. Amin,” katanya.

Isnin lalu, ibu kepada Ainul Mardhiah iaitu Nurul Erwani Zaidi menerusi Instagram memaklumkan anaknya kini sedang tenat dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Nurul Erwani berkata, anaknya mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans. – Malaysiapost

Kredit Foto: Instagram @_nrlerwani

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here