SEORANG pemimpin Amanah menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengeluarkan satu garis panduan atau tatacara berkenaan minum arak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil, garis panduan itu bagi memastikan tiada aktiviti seumpama festival minum arak atau Oktoberfest mendapat bantahan majoriti umat Islam di negara ini.
“Sensitiviti umat Islam harus dijaga sepertimana sensitiviti orang bukan Islam dihormati.
“Cukup-cukuplah masyarakat dalam negara ini berbahas berkenaan perkara yang boleh membawa kepada sentimen. Peliharalah keharmonian negara ini dengan menjaga sensitiviti kaum dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Faiz berkata, keharmonian hidup bermasyarakat di negara ini boleh dipertahankan dengan masing-masing mengekalkan budaya tradisional setiap kaum.
Justeru katanya, budaya asing dari Barat terutama festival Oktoberfest tidak perlu diadakan di negara ini.
“Orang bukan Islam boleh minum arak, tetapi bukan dalam aktiviti sepertimana satu festival di negara barat.
“Saya tidak rasa budaya festival minum arak ini adalah budaya asal mana-mana bangsa dalam negara ini. Jika disemak fakta sejarah festival ini, ia bermula dari Bavaria, Jerman.
“Pada pandangan saya, orang bukan Islam bebas dan berhak minum arak bila-bila masa, cuma untuk satu festival diadakan adalah tidak sesuai dibenarkan dalam negara ini,” katanya.
Baru-baru ini Idris dilaporkan berkata, perbuatan menjadikan minuman arak sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.
Menurut beliau, penganjuran acara itu boleh mencetuskan masalah sosial dan menjejaskan keharmonian serta keselamatan orang ramai. – Malaysiapost

