KBS akan terus gilap bakat Azeem – Faizal Azumu

0
1

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan terus menggilap bakat serta kebolehan pelari pecut remaja negara, Muhammad Azeem Fahmi agar lebih banyak kejayaan dicipta pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata KBS akan terus berusaha dan menyokong sebarang usaha meningkatkan pencapaian atlet dalam semua disiplin demi kemajuan sukan negara.

“KBS mengucapkan syabas dan tahniah buat Muhammad Azeem yang menduduki tempat kelima pada saingan akhir acara 100 meter Kejohanan Olahraga Remaja Dunia.

“Lebih membanggakan, kejohanan kali ini secara tidak langsung menyaksikan Muhammad Azeem berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada sesi saringan lapan dengan catatan masa 10.09s.

“Sesungguhnya ia pencapaian mengujakan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjalanan karier Muhammad Azeem selaku wira atlet muda negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan KBS sedang mempertimbang untuk menaik taraf trek balapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, Ipoh bagi melahirkan lebih ramai atlet berbakat dan berpotensi besar dalam sukan olahraga.

“Untuk makluman, SMK Gunung Rapat merupakan sekolah kluster sukan yang telah melahirkan banyak atlet termasuk Muhammad Azeem.

“Semoga segala usaha untuk mengembangkan kemajuan dan industri sukan di negara ini mendapat sokongan semua pihak agar nama Malaysia terus harum di persada antarabangsa,” katanya.

Terdahulu, atlet muda berasal dari Ipoh itu mendapat tempat kelima acara 100 meter di Colombia dengan catatan 10.14s.

Acara itu dimenangi Letsile Tebogo dari Botswana yang mencatat 9.91s diikuti atlet Jamaica, Bouwahjgie Nkrumie (10.02s) dan tempat ketiga milik Benjamin Richardson dari Afrika Selatan (10.12s).

Pelari Thailand, Puripol Bunsoon di tempat keempat dengan catatan 10.12s). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here