Kesihatan Ainul Mardhiah lebih baik dari semalam, tapi masih kritikal – bapa

0
1

BAPA kepada Ainul Mardhiah, kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor memaklumkan keadaan anaknya lebih baik namun masih kritikal.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak menerusi hantaran di Facebook, berkata pasukan perubatan masih memantau keadaan Ainul Mardhiah bagi mengelak keadaan anaknya menjadi sebaliknya.

“Perkembangan Ainul terkini selepas berjumpa dengan doktor yang merawatnya, apa yang saya boleh simpulkan lebih baik sedikit dari semalam. Tapi masih dalam keadaan kritikal.

“Doktor dan team masih perlu berjaga-jaga dan bersedia jika serangan bertambah buruk (nauzubillahiminzalik).

“Untuk masa sekarang, usaha doktor dan team yang merawatnya semalam dapat turunkan beberapa bacaan yang kritikal semalam. Alhamdulillah syukur. Terima kasih doktor dan jururawat,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Safiuddin memberitahu anaknya masih direhatkan oleh doktor dan memerlukan alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau juga menitipkan ucapan terima kasih dan sangat menghargai sokongan daripada mereka yang sentiasa mendoakan kesihatan Ainul Mardhiah.

“Tadi nampak ainul buka mata sekejap. ainul ni kuat betul. Dalam keadaan separa sedar, dia masih ada tenaga melawan.

“Ainul memang seorang fighter. Semangat juangnya tinggi. Walau apa pun yang berlaku, semua dengan izinNya.

“Doakan ye supaya ainul dapat keluar dari zon kritikal dan sembuh dari jangkitan ini tanpa ada sebarang komplikasi. Amin,” ujarnya.

Isnin lalu, ibu kepada Ainul Mardhiah iaitu Nurul Erwani Zaidi menerusi Instagram memaklumkan anaknya kini sedang tenat dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

Nurul Erwani berkata, anaknya mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital menaiki ambulans. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here