Apandi dipecat kerana putuskan Najib tak bersalah kes 1MDB, kata Dr M

0
1

TUN Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya memecat Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara kerana beliau telah memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak membuat apa-apa kesalahan berkenaan pengurusan 1MDB.

Sedangkan kata Dr Mahathir, seluruh dunia mengetahui malah Department of Justice Amerika Syarikat menyatakan secara terbuka terdapat kecurian wang 1MDB oleh “MO1”, iaitu Najib.

“Apabila AG (Peguam Negara) baru (Tommy Thomas) dilantik, ia mendapati ada kesalahan dilakukan Najib. Dengan itu Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Malaysia.

“Setelah perbicaraan di mana Najib diberi peluang pertahan dirinya selama lebih setahun, mahkamah menghukum Najib bersalah dalam tujuh kes dan didenda RM210 juta dan penjara 12 tahun.

“Setelah rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan, keputusan Mahkamah Tinggi didakwa benar dan sah,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi kenyataan.

Dr Mahathir berkata semua itu menunjukkan bahawa Mohamed Apandi cuai atau sengaja mendakwa tidak ada apa-apa kesalahan dilakukan Najib supaya kesnya tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Perbuatan Apandi menunjukkan ia tidak memegang kepada “Rule of Law”. Ia tidak sesuai menjadi AG. Memang kerajaan berhak untuk menamat pegawai yang membuat keputusan yang jelas salah.

“Ramai sudah pegawai yang membuat salah dilucutkan dari jawatannya,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjawab pertanyaan Mohamed Apandi mengapa kerajaan PH telah membuat penyelesaian secara persetujuan atas kes pemecatan yang tidak sah terhadap dirinya.

Mohamed Apandi mendakwa ia adalah suatu pengakuan bahawa tindak-tanduk Dr Mahathir secara arbitrari adalah salah dari segi tatacara/perundangan. – Malaysiapost

Kredit foto: Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here