MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka siong meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung nahas membabitkan sebuah pesawat ringan di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng, di Ipoh, malam tadi.
Ka Siong berkata, ia bagi menghormati keluarga mangsa selain memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan menyeluruh.
“Saya berharap orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung nahas semalam bagi menghormati keluarga mangsa dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara lengkap serta menyeluruh,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Ka Siong memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Datuk Chester Voo hadir ke Parlimen hari ini untuk memberi taklimat tentang status pengauditan keselamatan terhadap CAAM.
“Kapten Chester juga memberi taklimat tentang nahas udara yang berlaku di Ipoh semalam,” katanya.
Dalam insiden malam tadi, seorang juruterbang maut, manakala seorang lagi parah dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah-Sungai Rokam, di Ipoh, Perak, malam tadi.
Kemalangan itu melibatkan pesawat sedang menjalani latihan penerbangan di Sungai Pinji selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia disahkan sebagai Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, manakala seorang lagi, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, parah dan dikejarkan ke hospital. – Malaysiapost

