AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mendakwa akaun Telegram miliknya telah digodam dan digunakan untuk mendapatkan duit daripada kenalannya.
Susulan itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkenaan meminta sesiapa yang dihubungi melalui akaun berkenaan supaya mengabaikannya.
“Akaun Telegram saya telah digodam. Jika anda menerima mesej saya ingin meminjam duit, sila abaikan.
“Saya dapati ramai yang menerima nasib yang sama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sebelum ini sering didengar aplikasi atau laman sosial seseorang digodam termasuk meminta kenalan dalam akaun berkenaan memindahkan sejumlah wang kononnya pemilik akaun sebenar terdesak memerlukannya.
Kes berkenaan bukan sahaja dialami oleh rakyat biasa tetapi juga golongan lain termasuk ahli politik dan sebagainya.
Antara yang dilaporkan mengalami nasib sama adalah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila akaun Telegram dan WhatsApp miliknya digodam dan diambil alih pihak tidak dikenali pada awal tahun lalu. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

