“Doakan saya” – Azeem Fahmi

0
1

“KEPADA semua rakyat Malaysia, hanya doa dan positiviti daripada anda yang saya minta, itu senjata paling kuat untuk diri ini,” kata pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi.

Menerusi laman Instagramnya, atlet berusia 18 tahun itu mengharapkan doa daripada rakyat Malaysia untuk mengharungi cabaran separuh akhir acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia awal pagi nanti.

Azeem mara ke separuh akhir selepas mengungguli peringkat saringan lapan di Stadium Pascual Guerrero pada awal pagi hari ini dengan catatan rekod baharu kebangsaan iaitu 10.09 saat (s).

Pelari berasal dari Ipoh, Perak berjaya memecahkan rekod lama, 10.18s yang sebelum ini dilakukan Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak.

Beliau turut berterima kasih atas ucapan yang diterimanya susulan kejayaannya itu.

“Terima kasih semua atas ucapan. Alhamdulillah untuk segala-galanya. Kita layak ke separuh akhir dan harapnya ke final.

“Insya-Allah. Doakan saya,” katanya.

Azeem akan beraksi dalam saingan separuh akhir tiga yang dijadualkan berlangsung sekitar jam 4 pagi esok waktu Malaysia. – Malaysiapost

Kredit Foto: Instagram

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here