Pindaan RUU berkaitan LTAT, FAMA diluluskan

0
2

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan dua pindaan Rang Undang-Undang (RUU) membabitkan RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 dan RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022

RUU Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 dibentangkan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah), diluluskan selepas 15 Ahli Parlimen berbahas.

Ikmal Hisham berkata, fokus utama meminda Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) ialah memastikan caruman anggota tentera dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terjamin, selamat dan terpelihara.

“Anggota tentera berkorban nyawa dan tenaga dalam memastikan keselamatan serta keamanan negara kita. Pada masa sama, mereka juga seperti orang awam lain yang mahu memastikan apabila bersara kelak, mereka mempunyai simpanan yang boleh menjamin kehidupan pada masa depan.

“Dengan pindaan pada akta ini, anggota tentera akan lebih bersemangat dalam melaksanakan tanggungjawab kerana mengetahui caruman masa depan mereka selamat dan terjamin bawah LTAT.

“Ia memandangkan caruman mereka diuruskan oleh pengurusan LTAT yang cekap, bijaksana dan amanah,” katanya ketika membuat penggulungan mengenai usul berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, RUU Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin).

Menurut Ahmad, pindaan itu bertujuan memberi kuasa kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menstabilkan rantaian bekalan komoditi ternakan yang memberi kesan langsung terhadap keupayaan modal serta pasaran, terutama pengeluar kecil dan sederhana.

Beliau berkata dengan peluasan kuasa FAMA, kementerian menyasarkan pemacuan pembangunan sektor ternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

“Secara tidak langsung, ia turut meningkatkan sumbangan sektor agromakanan kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) negara melalui pemerkasaan penternak kecil dan semi komersial,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here