HARGA minyak masak tanpa subsidi lima kilogram (5kg) diturunkan kepada harga maksima RM34.70 sebotol berkuat kuasa 8 Ogos ini.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata harga baharu ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO).
“Bermakna 8 Ogos, minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70,” katanya pada sidang media mingguan di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga memutuskan mekanisme penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi di Semenanjung, ditentukan secara bulanan mengikut purata harga CPO bulan sebelumnya.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai penetapan harga siling itu akan diumum Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kelak.
“Harga akan ditetapkan secara bulanan berasaskan purata CPO diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap satu haribulan.
“Harga ini akan menjadi penanda aras untuk menentukan harga jualan minyak masak tulen tanpa subsidi,” katanya. – Malaysiapost

