MoU terbatal jika ada pilihan raya – Anwar

0
1

MEMORANDUM persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) secara automatik terbatal sekiranya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan hanya dengan pembubaran Parlimen sahaja akan dapat membatalkan MoU tersebut.

Menurut Ketua Pembangkang itu, blok pembangkang bagaimanapun sudah bersedia untuk berentap dengan Umno-Barisan Nasional (BN) di pentas pilihan raya.

“Seperti yang telah dijelaskan, MoU terbatal apabila ada pilihan raya. Kalau ada pilihan raya, kami bersedia pada bila-bila masa.

“Tetapi keutamaan kerajaan adalah ekonomi sekarang ini, rakyat terbeban, tanggungjawab kerajaan untuk mengendalikan ekonomi dengan baik, supaya dapat ringankan beban rakyat,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, hari ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, PH akan terus mendesak untuk kerajaan memberikan keutamaan dalam beberapa isu lain sebelum Parlimen dibubarkan termasuk berkaitan transformasi pentadbiran.

Katanya, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik tersebut mempunyai enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akan akur dengan pendirian partinya untuk tidak meneruskan MoU 2.0 dengan pembangkang. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here