MEMORANDUM persefahaman (MoU) persefahaman politik antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan yang berakhir hari ini telah membebaskan kerajaan daripada terus dimanipulasi pembangkang.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed, mendakwa pemimpin PH licik memanipulasi isu dan mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan, Umno dan Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh MoU berkenaan.
“Hari ini hari terakhir MoU yang ditandatangani pada 13 September 2021 antara kerajaan dan pihak pembangkang.
“Bagi saya, dengan berakhir MoU berkenaan bermakna kerajaan sudah bebas daripada belenggu pembangkang yang cukup bijak memanipulasinya untuk kepentingan politik mereka.
“Mana taknya, sepanjang tempoh MoU itu yang kononnya untuk ‘gencatan politik’, tapi pembangkang lebih galak menghentam kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Nur Jazlan berkata, PH mengambil kesempatan terhadap MoU berkenaan untuk melanjutkan hayat politik mereka dalam keadaan mereka belum bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Saya nampak pembangkang terutamanya parti-parti dalam PH sengaja memainkan pelbagai isu untuk memburukkan kerajaan Ismail Sabri.
“PH juga mahu guna MoU itu untuk mereka terus memanjangkan hayat politik. Mereka mahu terus pegang jawatan sebagai Ahli Parlimen dan cukup takut kalau Ismail Sabri bubarkan Parlimen lebih awal.
“Pemimpin PH nampaknya sudah ketagih. Ketagih kuasa dan jawatan selepas pernah jadi kerajaan. Sebab itulah mereka cuba memanipulasi sebaiknya ruang MoU untuk menyusun gerakan bagi rampas balik Putrajaya pada PRU-15,” katanya.
Nur Jazlan turut membidas PH kerana mempolitikkan isu semasa tanpa mencadangkan jalan penyelesaian mengatasinya.
“PH memang nampak MoU ini dan situasi ekonomi semasa sebagai modal untuk mempolitikkan segala isu. Mereka hanya guna strategi menyerang tanpa tidak memberikan jalan penyelesaian.
“Sudahlah merosakkan dalam masa yang sama mereka tak membantu apa-apa pun. Sebaliknya bila penghujung MoU mereka tuntut pula Ismail Sabri dan kerajaan penuhi segala tuntutan dalam MoU itu.
“PH masih berhajat mahu MoU itu disambung sebab itulah mereka gunakan macam-macam alasan,” katanya.
Nur Jazlan menambah, PH sanggup melakukan apa sahaja sebelum ini bagi mendesak Ismail Sabri menyambung MoU kerana takut PRU-15 diadakan awal
“Sampai Presiden PKR dan konco-konconya dalam PH nak jumpa Ismail Sabri untuk buat tuntutan dalam MoU yang belum dipenuhi oleh kerajaan.
“Mereka kata banyak lagi RUU penting lain yang perlu digubal. Sama macam Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) desak Ismail Sabri tunaikan MoU Bersatu tuntut jawatan yang bukan perjanjian itu.
“Lim Guan Eng (Pengerusi DAP) pula, lepas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan Dewan Rakyat, dia nak minta pula Dewan Undangan Negeri (DUN) semua negeri gubal enakmen Anti Lompat Parti, barulah PRU-15 boleh dibuat.
“Nampak sangat PH nak elak PRU-15 diadakan tahun ini. Mereka memang takut nak berdepan dengan pilihan baru rakyat nanti. Sebab mereka sedar selama 22 bulan jadi kerajaan, banyak benda yang PH kencing rakyat!” katanya. – Malaysiapost

