PRESIDEN Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan terima kasih kepada akar umbi parti yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada pucuk pimpinan dalam mengemudi parti itu.
Beliau berkata, Umno terus tabah dalam perjuangannya walaupun terpaksa menunggu lama keputusan Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung pindaan perlembagaan parti itu yang mahu menangguhkan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.
“Selepas menunggu dalam tempoh lama dan pelbagai prosedur dilakukan termasuk mengadakan Perhimpunan Agung Khas dan pelbagai syarat ditetapkan dipenuhi maka ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno berkuat kuasa semalam.
“Terima kasih ROS terhadap kelulusan tersebut. Terima kasih akar umbi Umno di seluruh negara yang sama-sama berdiri teguh bersama kepimpinan Umno memperjuangkannya walaupun ada segelintir secara terbuka cuba membina naratif menolaknya,” katanya di Facebook, hari ini.
Justeru, Ahmad Zahid menegaskan, semangat bersatu padu di kalangan ahli parti mampu menewaskan segelintir anasir jahat yang cuba melemahkan kedudukan parti.
“Apabila seluruh ahli dan perwakilan Umno bersatu padu dan tekad menyokong pindaan maka suara sumbang segelintir yang cuba menolaknya kini terbukti silap dalam menentukan sikap dan pendirian yang jelas bertentangan dengan suara akar umbi Umno.
“Namun tahap kesabaran kita dalam kepimpinan parti jelas tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang memprovokasi dan mengganggu gugat pemulihan dan kestabilan dalaman Umno.
“Tahniah kepada seluruh ahli Umno dari lapisan akar umbi hingga ke peringkat tertinggi yang tetap bersama perjuangan Umno,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, keputusan ROS meluluskan pindaan perlembagaan parti itu telah memberi semangat baharu kepada ahli Umno sempena melangkah tahun baru Maal Hijrah hari ini.
“Semoga tahun baru Hijrah ini membawa barakah kepada kita semua dalam Umno dan seluruh rakyat Malaysia untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan ROS telah meluluskan permohonan Umno untuk meminda perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan parti itu.
Ahmad memaklumkan yang pihaknya telah menerima surat jawapan dari ROS yang bersetuju pemilihan Umno ditangguhkan selama enam bulan selepas PRU15. – Malaysiapost

