DATUK Seri Najib Razak menyifatkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menerima pindaan Perlembagaan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dapat mengelakkan perpecahan dalaman.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), berkata perkara itu juga merupakan tuntutan akar umbi yang dibuat menerusi Perhimpunan Agung Khas Umno pada Mei lalu.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, akar umbi Umno mahu supaya PRU15 diberikan laluan terlebih dahulu, berbanding pemilihan agar tidak mengganggu fokus jentera parti.
“Keputusan ini bererti bahawa apa yang kita khuatiri iaitu perpecahan dan kerosakan dalaman parti akan dapat kita elakkan dan kita boleh beri tumpuan kepada persediaan PRU15.
“Kita juga boleh mengurangkan politiking sesama kita kerana sekarang ini keutamaan kita, fokus kita adalah untuk memenangi PRU yang akan datang,” katanya.
Semalam, ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno yang diputuskan parti itu sebelum ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kelulusan diberikan oleh ROS, selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa hari ini.
“ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan Umno supaya pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat).
“ROS juga meminta supaya satu pemilihan perlu diadakan dalam satu penggal PRU Parlimen (Dewan Rakyat),” katanya. – Malaysiapost

