PBM rehatkan Paul Yong sehingga rayuan mahkamah selesai

0
1

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) bersetuju merehatkan Paul Yong daripada segala jawatan yang berkait dengan parti itu buat sementara ini.

Ketua Penerangannya, Zakaria Abdul Hamid berkata, PBM menerima permohonan Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh untuk berehat daripada terlibat secara aktif dalam mana-mana aktiviti dan pengurusan parti, sehingga proses rayuan beliau di mahkamah selesai.

“Majlis Tertinggi (MT) Parti Bangsa Malaysia telah bermesyuarat hari ini untuk membincangkan mengenai hal-hal berkaitan pengurusan parti dan isu-isu terkini yang berkaitan dengan Parti Bangsa Malaysia.

“MT Parti Bangsa Malaysia sebulat suara bersetuju menerima permohonan YB Paul Yong (Adun Tronoh),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, jawatan Yong sebagai Bendahari Agung PBM dan Pengerusi PBM Negeri Perak akan diganti dengan pelantikan baharu dalam masa terdekat.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan ke atas Yong kerana kesalahan merogol.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas Yong yang juga bekas exco negeri didapati bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumahnya pada 2019.

Sementara itu, PBM bersetuju untuk mengadakan Persidangan Agung Tahunan Bahagian pada tarikh 30 Julai hingga 14 Ogos 2022 dan Persidangan Agung Tahunan Negeri pada tarikh 15 Ogos hingga 29 Ogos ini.

“Turut diadakan pada tarikh yang sama, persidangan bagi sayap wanita dan pemuda Parti Bangsa Malaysia bagi setiap bahagian dan negeri di seluruh Malaysia.

“Tarikh Persidangan Agung Tahunan Pusat Parti Bangsa Malaysia akan ditentukan di dalam mesyuarat akan datang dan akan dimaklumkan kepada umum nanti,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here