Ben Ibrahim
PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota memberi isyarat kerusi Parlimen kawasan itu akan dirampas semula daripada penyandangnya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Pengurus Hal Ehwal Parlimen PKR Indera Mahkota, Zuraidi Ismail berkata, pengkhianatan oleh Saifuddin meninggalkan kesan kepada pengundi kawasan itu sehingga hari ini.
“Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan di peringkat Dewan Rakyat dengan majoriti 209 undi menyokong.
“Ini adalah perkembangan sungguh positif dan sangat kami nantikan.
“Kami di Indera Mahkota sangat terkesan, kecewa dan terpaksa menelan impak buruk akibat ‘lompatan’ Saifuddin yang jelas mengkhianati mandat pengundi di sini,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota menaruh keyakinan tinggi bahawa kepercayaan dan harapan rakyat terhadap sistem demokrasi dapat dipulihkan selepas RUU itu diluluskan kelak.
Katanya, rakyat sudah dapat melihat kesan buruk akibat perbuatan melompat parti dalam kalangan ahli parlimen hingga menyaksikan negara ini terus mengalami kegawatan politik berterusan.
“Harapan tinggi pengundi dijadikan bahan mainan oleh mereka ini, pengorbanan petugas dan jentera yang bekerja keras untuk memastikan mereka menang juga tidak berharga pada pandangan mereka.
“Pemimpin seperti ini tidak lagi boleh dipercayai baik pada pihak kawan mahupun pihak lawan,” katanya.
Zuraidi turut menyifatkan tindakan Saifuddin memasang posternya di kawasan Indera Mahkota hanya mengimbau kenangan buruk terhadap bekas ahli PKR itu.
“Kami memandang poster itu dengan rasa kecewa dan marah, ia tidak membantu dia memenangi semula hati pengundi di sini.
“Ramai pengundi di Indera Mahkota berazam untuk memastikan Saifuddin ditolak sepenuhnya jika dipilih sebagai calon untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Sebagai rekod, Saifuddin sebelum ini adalah ahli Umno dan pernah memenangi kerusi parlimen Temerloh sebelum menyertai PKR.
Beliau memenangi kerusi parlimen Indera Mahkota menggunakan tiket PKR pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020. -Malaysiapost

