Asyraf Wajdi desak segerakan PRU15

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah tiba masanya mandat rakyat dikembalikan dengan mengadakan segera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, ia penting bagi mendirikan sebuah kerajaan mutlak yang dipilih secara demokratik tanpa berlaku sebarang pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Malah, beliau juga berharap Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan semalam, dapat menamatkan insiden pengkhianatan dan percaturan kuasa politik.

“Terciptanya sejarah besar buat negara apabila RUU Anti Lompat Parti diluluskan dengan majoriti 2/3, 11 tidak hadir.

“Harap tiada lagi insiden pengkhianatan terhadap mandat rakyat. Tiada lagi catur-mencatur kuasa di kalangan pengkhianat mandat rakyat,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pencabulan mandat rakyat menyebabkan negara melalui episod hitam dalam sejarah demokrasi tanah air.

“Tiada lagi pemerkosaan mandat rakyat yang menjadi punca ketidak-stabilan negara selama lebih empat tahun.

“Maka, sudah tiba masanya mandat rakyat dikembalikan agar sebuah Kerajaan mutlak yang bukan didirikan atas pengkhianatan mandat dapat dipilih secara demokratik.

“Yang pasti rakyat tidak akan sesekali melupakan wajah-wajah pengkhianat mandat rakyat sehinggakan negara terpaksa menempuhi tempoh kelam dalam lipatan sejarah tanah air,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here