Wanita maut ketika terima rawatan tradisional

0
1

SEORANG wanita maut ketika mendapatkan rawatan perubatan tradisional di sebuah rumah teres di Pandan Perdana, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata wanita berusia 41 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah tersebut.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

“Siasatan di tempat kejadian masih lagi dijalankan dan punca kejadian masih lagi disiasat.

“Mangsa dipercayai datang ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan tradisional sejak seminggu lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan kejadian itu, polis menahan wanita tempatan berusia 51 tahun yang bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional di lokasi kejadian.

Menurut beliau, suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang Jaya hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan jika sabit kesalahan boleh disabit dengan hukuman gantung sampai mati,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here