Tiada wakil Bersatu bahas RUU larangan tukar parti

0
2

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai larangan Ahli Parlimen (MP) bertukar parti selesai dibahaskan selama dua hari, bermula jam 12 tengah hari semalam hingga jam 4 petang tadi.

Sejumlah 54 Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik mengambil bahagian dalam perbahasan itu, antaranya mewakili Barisan Nasional (BN), PAS, PKR, DAP, Amanah dan Pejuang.

Selain, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 jam sesi perbahasan berlangsung, tiada seorang pun dalam kalangan sembilan Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, berdiri membahaskan RUU yang mengekang tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat itu.

Sembilan Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai Kabinet adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh); Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah).

Selain itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat); Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).

Situasi itu menimbulkan persoalan mengenai pendirian Bersatu sama ada parti menyokong atau menolak RUU berkenaan, dan mengundang kemungkinan RUU tidak diluluskan jika gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here