SEORANG juruteknik dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar berusia 13 tahun.
Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh, Azali Abu, 40, yang membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan rogol dan empat pertuduhan amang seksual.
Memetik laporan Kosmo, pertuduhan merogol tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan amang seksual tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Bachang, dalam daerah Melaka Tengah, pada 16 dan 17 Jun lalu.
Terdahulu, tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan kerana telah menyesal dan insaf dengan perbuatannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira tindakannya melarikan seorang pelajar sekolah dari Klang, Selangor dan bawa ke tempat asing di Melaka.
Tertuduh juga telah berusia 40 tahun, manakala mangsa hanya seorang pelajar Tingkatan 1 dan sepatutnya golongan dewasa itu membimbing kanak-kanak tersebut, bukan sebaliknya.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara enam tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal.
Beliau memerintahkan hukuman mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan itu berjalan secara berasingan, manakala Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berjalan serentak dari tarikh tarikh ditangkap, 25 Jun lalu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Malaysiagazette

