AKHIR-akhir ini spekulasi siapakah gerangan di sebalik nama Sultan Pemurah menjadi perbualan di laman Tiktok mahupun media sosial lain selepas individu itu dikatakan murah hati memberi hadiah dalam sesi siaran langsung atau live.
Nama Sultan Pemurah melonjak naik setelah memberi hadiah kepada yang berpengaruh, Ryan Bakery dengan tiga ekor ‘singa’ ketika live di TikTok.
Hadiah yang sama turut diberikan kepada pasangan Wawa Zainal dan Aeril Zafrel sekali lagi mengundang tanda tanya, sama ada Sultan Pemurah sebenarnya adalah Kacak, anak kepada usahawan Kosmetik Datuk Seri Vida.
Menerusi satu video yang dimuat naik, Wawa dan Aeril bertanya adakah Sultan Pemurah dan Kacak adalah orang sama, berdasarkan suara yang seakan-akan.

Namun, individu itu menafikan dan memohon untuk keluar daripada sesi live tersebut.
Menerusi hantaran video itu, rata-rata warga maya turut mengiyakan bahawa suara Sultan Pemurah serupa dengan Kacak atau nama sebenarnya Muhammad Eric Zaquan.
Sebelum ini, warga maya meneka Sultan Pemurah sebenarnya adalah pelawak dan usahawan, Shuib, namun andaian itu tidak betul selepas tular video perbualan suara bersama Ryan Bakery.
Sebelum ini, Ryan yang terkenal dengan video mengimbau memori zaman 1990-an mendapat rezeki terpijak apabila Sultan Pemurah tiba-tiba menghadiahkan hadiah ‘singa’ yang nilainya sangat tinggi dalam sesi live.
Gara-gara terlalu teruja, Ryan juga berkongsi berita gembira tersebut kepada tunangnya yang kebetulan membuat panggilan telefon ketika itu.
Sambil meluahkan rasa terharu, pemuda berusia 27 tahun ini turut menyatakan wang diperoleh tersebut boleh digunakan untuk perbelanjaan kahwin. – Malaysiapost

