Ludah pembantu peribadi, Mak Wan Latah dihadap ke mahkamah

0
1

‘JANGAN viral, okay’. Demikian amaran pelakon veteran Mak Wan Latah kepada petugas media yang merakam visual sejurus sebelum memasuki kamar bicara Mahkamah Majistret di Taiping hari ini.

Mak Wan Latah atau nama sebenarnya, Halimatussa’diah Mohd Daud, 61, yang hadir dengan berpakaian kasual dihadapkan ke mahkamah itu atas tuduhan berkelakuan aib iaitu meludah dengan tujuan membangkit kemarahan terhadap seorang wanita, bulan lalu.

Memetik Berita Harian, Halimatussa’diah yang juga pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Nur ‘Atiqah Sapari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja meludah Nurul Amalina Mohamad Kamal, 28, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di alamat Lorong Haji Wahab, Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, di Taiping, kira-kira jam 7 malam 24 Jun lalu.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, menawarkan jumlah jaminan RM5,000 terhadap tertuduh sebelum Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Ia selepas peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), T Selvadoray meminta mahkamah mengambil kira pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bekerja secara sambilan selain ibu tunggal kepada empat anak.

Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 5 September ini.

Sebelum ini, media melaporkan Mak Wan membuat laporan polis di Balai Polis Taiping, kerana kes berlaku di Batu Kurau membabitkan antara dirinya dengan bekas pembantu peribadi dikenali sebagai Amell.

Menerusi temubual dengan sebuah portal dalam talian sebelum ini, Amell mengaku pernah memukul Halimatussa’diah atas alasan mempertahankan diri selepas diludah ekoran bertanya satu soalan yang menimbulkan kemarahan pelakon veteran itu. – Malaysiapost

Kredit foto: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here